Mulai sekarang aku akan selitkan sedikit pesanan untuk diri aku sendiri dan sesiapa sahaja yang membaca blog aku ni.. (ada ke yang baca?) Bukan tujuannya nak menunjuk-nunjuk yang aku ni kononnya baik atau sebagainya.. tapi sebagai satu peralihan minda untuk cuba menjadi lebih baik lagi di masa hadapan. Insyaallah..
Tazkirah ini aku akan ambil dari artikel-artikel pilihan yang aku baca dari Majalah Solusi yang aku kira sebagai majalah keagamaan yang sesuai untuk mereka-mereka yang hendak berjinak-jinak atau mula mencari jalan kebenaran..
Jadi untuk kali ini aku akan kongsikan berkenaan dengan aspek 'Sedekah'.
Sedekah Secara Diam-Diam
Nabi Muhammad S.A.W bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a yang bermaksud: "Tatkala Allah menciptakan bumi, maka bumi pun bergetar, maka Allah ciptakan gunung dengan kekuatan yang diberikan kepadanya ternyata bumi pun diam. Para Malaikat pun hairan akan penciptaan gunung tersebut. Kemudian mereka pun bertanya: " Ya Rabbi, adakah sesuatu yang Engkau ciptakan lebih hebat daripada gunung?"
Allah menjawab, "Ada, iaitu besi." (Kita maklum bahawa gunung batu pun boleh menjadi rata ketika dikorek dan diratakan oleh bulldozer atau sejenisnya yang ternyata dibuat daripada besi).
Malaikat pun kembali bertanya: "Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih hebat daripada besi?" Allah yang Maha Suci menjawab: "Ada iaitu api". (Besi boleh menjadi cair bahkan boleh mendidih setelah dibakar dengan api)
Malaikat kembali bertanya: "Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih hebat daripada api?"
Allah yang Maha Agung menjawab: "Ada iaitu air". (Api yang membara macam mana pun akan padam dengan simbahan air).
"Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih hebat daripada air?" tanya Malaikat lagi.
Allah yang Maha Tinggi dan Maha Sempurna menjawab: "Ada iaitu Angin". (Air di samudera akan segera terangkat , bergulung-gulung dan berombak, menghempas pantai dan batu karang, menyebabkan kapal dan perahu terumbang-ambing kerana dahsyatnya kekuatan angin . Angin ternyata memiliki kekuatan yang sangat dahsyat).
Akhirnya para Malaikat bertanya lagi: "Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih hebat daripada angin?"
Allah yang Maha Gagah dan Maha Dahsyat kekuatan-Nya menjawab:
"Ada, iaitu amal anak Adam yang mengeluarkan sedekah dengan tangan kanannya sementara tangan kirinya tidak mengetahuinya". (Riwayat al-Tirmizi)
Dipetik dari SOLUSI Isu No.14 2009
14 April, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment